Afiq Nazmi Azharin

KUALA LUMPUR – Pengakuan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa beliau mengadakan rundingan dengan DAP sangat dikesali kerana tindakan itu dilihat bersifat mementingkan kuasa.

Ketua Armada Bersatu Melaka, Afiq Nazmi Azharin berkata, Ab Rauf telah membuat pendedahan yang mengejutkan apabila mengakui UMNO dan Barisan Nasional (BN) ‘meminta nyawa’ dengan DAP bagi menyelamatkan kerajaan negeri Melaka daripada runtuh.

“Negeri Melaka yang penuh bersejarah ini dilihat sedikit mundur kebelakang akibat pentabiran yang kurang kesefahaman diantara pemimpin utama dalam kerajaan negeri.

“Oleh itu, adalah wajar untuk Melaka memberi peluang pada pemimpin baharu yang muda dan lebih bertenaga bagi menjayakan dasar pelan pemulihan negara untuk kebaikan ekonomi di negeri Melaka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Ab Rauf dilapor mengakui mengadakan rundingan dengan DAP sebelum empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Katanya, pertemuan itu bertujuan menyelamatkan negeri berkenaan di samping menawarkan beberapa solusi namun, ia ditolak oleh parti tersebut.

Afiq Nazmi berkata, Armada Melaka tidak menyentuh isu politik dan tuduhan tertentu yang digembar gemburkan beberapa hari lalu kerana ianya melibatkan perselisihan peribadi dan juga politik dalaman UMNO dan sesama mereka.

Ujarnya, adalah wajar diselesaikan terlebih dahulu kerana kegagalan tersebut membuatkan rakyat lebih muak dan jelik dengan sikap buas pemimpin yang hanya mementingkan kepentingan peribadi semata-mata, terutama anak muda.

“Kami berpendirian segala fokus ketika ini harus diberikan kepada usaha untuk memulihkan negara dan negeri Melaka daripada pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, bagi menghormati proses demokrasi, perlembagaan negeri dan keputusan yang telah dibuat TYT YDP Negeri Melaka, kami dan jentera akan bersiap sedia bagi menyertai pilihan raya negeri (PRN) yang tarikhnya akan ditentukan oleh SPR (Suruhjaya Pilihan Raya) dalam masa terdekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette