KUALA LUMPUR – Pasaran buruh bertambah baik pada Oktober 2022, dengan lebih ramai penduduk bekerja dan penganggur yang semakin berkurangan.

Bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Oktober 2022, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.68 juta orang (September 2022: 16.66 juta orang).

Manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 69.7 peratus.

Bilangan penganggur mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus, merekodkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu sebanyak 602,000 orang (September 2022: 605,000 orang).

Kadar pengangguran pada Oktober 2022 kekal pada 3.6 peratus, 0.3 mata peratus lebih tinggi berbanding paras prapandemik (Februari 2020: 3.3%).

Peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja berterusan pada Oktober 2022 dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.08 juta orang (September 2022: 16.05 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti Perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit dan kewangan & insurans/ takaful.

Begitu juga, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga mencatatkan peningkatan.

Sebaliknya, guna tenaga dalam sektor perlombongan & pengkuarian terus menurun.

Bilangan penduduk di luar tenaga buruh terus berada pada trend menurun sejak Ogos 2021, berkurang sebanyak 0.03 peratus merekodkan
7.24 juta orang (September 2022: 7.24 juta orang). – MalaysiaGazette