GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk meneruskan pembiayaan Pas Mutiara tahun depan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, usaha itu diteruskan selepas ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat di negeri ini.

Jelas beliau, dengan pelaksanaan Pas Mutiara itu perkhidmatan pengangkutan awam di bawah seliaan bas Rapid Penang akan kekal percuma  bagi negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya kerajaan di negara ini yang membiayai sepenuhnya kos pengangkutan awam melalui penajaan Pas Mutiara.

“Ia demi menggalakkan rakyat untuk menukar mod pengangkutan daripada kenderaan persendirian ke pengangkutan awam sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Kita percaya pembiayaan Pas Mutiara ini mampu menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai penduduk negeri ini khasnya mereka yang mempunyai kenderaan persendirian untuk beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zairil, penggunaan Pas Mutiara mendapat sambutan memberangsangkan apabila jumlah pembelian dan pembaharuan pas tersebut kian meningkat dan bilangan penumpang (ridership) turut menunjukkan peningkatan pada setiap bulan.

“Secara tidak langsung, dengan penajaan langganan Pas Mutiara My50 ini juga, pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan tol yang jauh lebih tinggi setiap bulan,” katanya.

Untuk rekod, program penajaan Pas Perjalanan Tanpa Had atau lebih dikenali sebagai Pas Mutiara telah dimulakan sejak 1 Mac 2021.

Malah, sebanyak RM16.5 juta telah diperuntukkan sepanjang tempoh tempoh tahun iaitu bermula 1 Mac 2021 sehingga 31 Disember ini khusus untuk pembiayaan Pas Mutiara. – MalaysiaGazette