Supermax
Supermax Corp. Bhd.

KUALA LUMPUR- Harga saham Supermax Corp Bhd susut 2.1 peratus semasa sesi pagi hari ini selepas laporan berita bahawa Pengarah Eksekutif Kumpulan Datin Seri Cheryl Tan Bee Geok dan saudara perempuannya didenda RM7 juta dan dihukum penjara lima tahun atas kesalahan dagangan orang dalam.

Pada 10.12 pagi, saham Supermax turun sembilan sen kepada RM4.19 daripada RM4.28 sewaktu ditutup semalam, dengan 2.80 juta saham bertukar tangan.

Semalam, dalam kenyataan Suruhanjaya Sekuriti berkata, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mensabitkan Tan, yang juga isteri kepada Pengasas; dan Bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Supermax, Datuk Seri Stanley Thai, atas kesalahan dagangan orang dalam membabitkan saham APL Industries Bhd (APLI).

APLI adalah antara firma di bawah kumpulan syarikat Supermax, dan Tan ialah bekas Pengarah Eksekutif APLI.

Supermax dilaporkan sebagai berkata bahawa “perniagaan adalah seperti biasa”, dengan syarikat dan pengurusan yakin dapat mengekalkan dan meningkatkan prestasi dalam beberapa tempoh suku akan datang. – BERNAMA