Mohd Shuhaily Mohd Zain (baju merah petak) meninjau lokasi kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Damansara Damai, tengah hari tadi.

PETALING JAYA – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turun ke lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Damansara Damai hari ini.

Beliau yang berpakaian baju merah berpetak dan topi hitam tiba ke Blok R Apartmen Idaman jam lebih kurang 1.15 tengahari tadi dan dilihat memasuki Blok R dan kebun lokasi penemuan mayat kanak-kanak malang itu yang ditutup dengan pita kuning larangan di kawasan tersebut.

Kemudian beliau dilihat turun dari Blok R sekitar jam 2.17 petang tadi sambil diiringi sekumpulan anggota dan pegawai JSJ.

Difahamkan kehadiran dan tinjauan Mohd Shuhaily untuk melihat sendiri progres siasatan dan situasi semasa di lokasi kejadian kes pembunuhan kanak-kanak istimewa itu yang kini memasuki hari ke-14 pencarian bukti yang boleh membawa kepada suspek jenayah tersebut.

Kemudian beliau diberi penerangan oleh beberapa anggota dan pegawai JSJ yang berpakaian biasa sebelum berjalan ke arah kenderaan di hujung Blok R sebelum meninggalkan kawasan perumahan tersebut jam 2.37 petang tadi.

Kanak-kanak itu yang dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Disember lalu di Blok R oleh ibunya sebelum pencarian beramai-ramai pada 6 Disember lalu berjaya menemui mayatnya jam 10 malam.

Proses bedah siasat mendedahkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan simati sebelum disahkan mangsa telah dibunuh.

Polis menyiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Minggu lalu polis menerusi saringan DNA berjaya mengesan dua saksi kanak-kanak yang melihat mangsa di tingkat 2 dan 3 Blok R jam 5 petang sebelum dilaporkan hilang.-MalaysiaGazette