Empat suspek ditahan reman enam hari oleh SPRM kerana terlibat rasuah projek kerajaan bernilai RM114 juta. Kredit SPRM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Empat individu disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan projek-projek menerusi satu program khas kerajaan bernilai RM114 juta diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam.

Keempat-empat lelaki itu berusia antara 38 hingga 65 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika datang untuk memberi keterangan.

Sumber berkata, seorang daripada mereka merupakan pengarah urusan dan seorang lagi pengurus besar daripada dua syarikat berbeza.

Manakala dua lagi ialah pengarah syarikat daripada syarikat sama.

Katanya, salah seorang mereka berusia 65 tahun (pengarah urusan) dikatakan telah bertindak sebagai orang tengah dengan meminta dan menerima rasuah daripada dua pengarah syarikat tersebut dengan dibantu oleh pengurus besar.

“Orang tengah terlibat dipercayai telah meminta sebanyak tiga sehingga lima peratus daripada jumlah projek sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek di bawah program khas kerajaan tersebut.

“Projek tersebut merupakan projek membina dan menaik taraf jalan di selatan tanah air,” katanya hari ini.

Mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan perintah reman.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan mereka direman selama enam hari bermula 11 Januari sehingga 16 Januari 2023 bagi membantu siasatan lanjut SPRM dan melengkapkan kertas siasatan kes.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi telah mengesahkan penahanan kesemua lelaki itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa kesemua mereka sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette