Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun serta ahli suruhanjaya berkenaan perlu meletak jawatan ekoran perubahan kerajaan ketika ini.

Perkara itu ditegaskan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang menegaskan, tindakan itu wajar bagi membolehkan SPR dilihat berfungsi sebagai sebuah badan perlembagaan yang bebas serta berkecuali.

Beliau mendakwa latar belakang mereka sebagai aktivis politik ketika di luar SPR sebelum ini, ketara mencerminkan sikap dan pegangan politik diri yang tidak berkecuali.

“Azhar dan ahli-ahli SPR lain sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum) dulu, mereka adalah aktivis politik pro-PH (Pakatan Harapan), maka eloklah mereka mengundur diri meletakkan jawatan secara bermaruah.

“Itulah yang wajar mereka lakukan kerana saya melihat mereka tidak sesuai untuk mengemudi dan terus berada di dalam badan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad mendakwa, umum turut menganggap Azhar dan ahli suruhanjaya lain sebagai individu yang didukung oleh pihak tertentu dari kumpulan penentang kerajaan ketika ini.

Justeru katanya, keberadaan mereka sebagai anggota panel dalam SPR jelas bercanggah dengan semangat dan maksud yang termaktub mengikut Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perkara 114 (2) yang berkenaan, Perlembagaan dengan tegas dan jelas menyebut bahawa, “pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

“Perkara bermaruah perlu mereka mahukan ialah meletak jawatan, tidak perlu berpura-pura lagi. Mereka sebenarnya orang-orang yang tidak layak,” ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin meneliti dan menyemak kehadiran kumpulan bekas aktivis politik proparti pembangkang yang kini masih berada dalam SPR. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Betul tu, kami skong 100%, sbb mereka2 ini perosak kpd sistem pentadbiran ngra terutama bekar pyokong pkr, Perempuan yg bernama Koya tu..yg trajaui sprm, dia tu tak lyk lgsung jadi kp sprm..

  2. Cadangan Rakyat, semua ketua badan terpenting mestilah dilantik melalui parlimen…bukannya lantikan politik. Pesuruhjaya SPRM, SPR, Peguam Negara, Ketua Polis mesti tidak terlibat dgn politik.

  3. Setuju. Letak jawatan. Dulu selalunya berat sebelah terhadap PH dan tidak berintegriti dalam menjalankan tugas. Bagusnya letak jawatan sebelum dipecat. Tan Sri Lee Lam Thye should be the right candidate. He has the true spirit of being a Malaysian and always talks about peace and co-existence in the country. May God save and bless Malaysia.

Comments are closed.