Ahli Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berjalan keluar selepas perjumpaan dengan ahli-ahli pakar-pakar ekonomi dan pengurus dana global di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2018
Ahli Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berjalan keluar selepas perjumpaan dengan ahli-ahli pakar-pakar ekonomi dan pengurus dana global di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2018

KUALA LUMPUR- Penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan mengambil sedikit masa sebelum boleh dilaksanakan, kata Ahli Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Menurutnua, kerajaan perlu melalui proses-proses perundangan termasuk membentangkannya di Parlimen sebelum boleh menghapuskannya.

“Seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan tidak akan melanggar peraturan sedia ada di dalam negara ini untuk membuat perubahan.

“Cuma dalam tempoh 100 hari ini kami akan membuat pengumuman bagaimana untuk melaksanakan perkara tersebut termasuk yang melibatkan proses seperti mendapatkan kelulusan pihak tertentu mahupun membentangkannya di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan kira-kira 180 pakar ekonomi dan pengurus dana global di sini hari ini.

Mesyuarat di pengerusikan Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin.

Menurut Zeti, tugas majlis berkenaan adalah untuk mencari penyelesaian komprehensif sebelum GST dihapuskan.

“Kami tidak mahu membuat kerja sekerat jalan yang mana ia memberi manfaat kepada satu pihak tetapi mengabaikan satu pihak yang lain.

“Kami mahu melakukannya dengan cara terurus asalkan matlamat asalnya dapat dicapai iaitu meningkatkan kuasa beli rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan menengah,” katanya lagi.

Tegas Zeti, semua mekanisme sedang dikaji termasuk melibatkan zero raising iaitu daripada kadar enam peratus kepada kosong peratus, teknologi dan sistem yang akan digunakan serta proses yang diperlukan.

Di dalam manifesto Pakatan Harapan, kerajaan berjanji untuk menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari. – MalaysiaGazette