Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Banyak kejadian ‘kebetulan’ berlaku di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 18 bulan ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan bagaimanapun berkata, adakah semua siri kebetulan itu satu gerakan trial and error dari DAP?

Beliau menjelaskan, kebelakangan ini negara kecoh dan heboh dengan siri penghinaan demi penghinaan yang dilakukan pihak tertentu seperti ratu cantik memakai selempang selepang tertulis “Republic Of Malaysia”.

Katanya, adakah itu juga satu kebetulan?

“Semalam pula kecoh lagi apabila ada pihak dengan bangganya mengumumkan telah membawa balik abu mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng.

“Abu mayat itu ditabur di laut dan di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, di mana tempat yang menyaksikan ramai anggota polis dan tentera terkorban dibunuh pengganas komunis,” katanya dalam hantaran akaun Facebooknya, hari ini.

Pada masa sama, menurut Zahida Zarik, malam sebelum abu mayat Chin Peng, berlaku satu penghinaan serius terhadap negara, iaitu menayangkan Jalur Gemilang yang berlogo bintang lima bucu.

Tegas beliau, peristiwa itu telah membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia, kerana siri penghinaan terus berlaku.

“Adakah dua kejadian yang selang beberapa jam berlaku itu satu kebetulan?

“Begitu juga sebelum ini ramai pemimpin DAP menyatakan sokongan terbuka kepada kumpulan pengganas LTTE sehingga ada beberapa pemimpinnya ditahan dan kemudian dibebaskan. Adakah itu juga satu kebetulan?,” soal beliau.

Jelasnya, makin hari semakin terserlah kegagalan PH dengan janji tidak ditunai, kebajikan rakyat makin terabai sehingga rakyat sudah tidak sabar untuk menanam PH pada PRU akan datang. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ketua Puteri UMNO tak perlu nak kecoh2 menuding jari atas apa jua penghinaan yg berlaku mutakhir ini. Sudah menjadi lumrah kita asyik menuding jari menyalahkan pihak lain pabila berlaku seperti suatu penghinaan atau kepincangan. Cuba saudari renung n fikir secara rasional secara holistik mengenai apa yg berlaku mutakhir ini. Saudari diam seribu bahasa bahasa pabila calon MCA di Tanjung Pia berceramah. MABA yg memasang bendera berbintang bucu lima, bendera negeri Perak di cetak terbalik dsbnya, bukankah ianya dilakukan oleh ahli gabungan saudari sendiri! Mengapa saudari diam? Jika ingin menegur atau mengkritik biarlah jujur – kalau salah katakan salah walaupun dia kawan baik kita. Saudari sengaja ingin mendapatkan publisiti murahan n agar mendapat political mileage utk diri sendiri. Konon saudari adalah pejuang sebenar.

Comments are closed.