Benjamin Netanyahu menyambut Jonathan Pollard sebaik tiba di Israel pada 2020.

TEL AVIV – Seorang bekas pengintip Israel yang dipenjarakan selama 30 tahun di Amerika Syarikat mengugut mangsa dan keluarga mangsa yang diculik oleh Hamas supaya diam atau ‘didiamkan’.

Jonathan Pollard membuat ugutan itu apabila terdapat mangsa atau keluarga mangsa yang memuji layanan penuh hormat tentera Hamas sepanjang mereka menjadi tebusan di Gaza.

Terdapat keluarga mangsa yang menentang tindakan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu untuk meneruskan perang di wilayah Palestin itu.

Pollard yang membuat ugutan melalui video yang dikongsi di media sosial kemudiannya menjadi tular.

‘Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Israel adalah mengisytihar darurat di seluruh negara.

“Dan kedua semua keluarga mangsa tebusan, anda kena tutup mulut anda atau kami akan ‘mendiamkannya’ untuk anda. Anda tidak seharusnya campurtanggan tentang bagaimana kami menguruskan perang ini.

“Anda tidak sepatutnya dipergunakan oleh komuniti antarabangsa atau oleh kumpulan pembangkang untuk menentang kami,” katanya.

Pollard berkata, sekiranya kerajaan terpaksa bertindak dengan memenjarakan mangsa dan keluarga terbabit maka ia seharusnya dilaksanakan.

Lelaki berusia 65 tahun itu menjadi warga Israel pada Disember 2020 sebaik tempoh hukumannya tamat.

Ketibaan beliau dan isteri di negara Zionis itu disambut oleh Benjamin Netanyahu yang juga perdana menteri Israel pada waktu itu.

Pollard, seorang penganalisis perisikan awam untuk Tentera Laut Amerika Syarikat menjual rahsia ketenteraan negara itu kepada Israel semasa bekerja di Pentagon pada 1980-an.

Dia ditangkap pada 1985 selepas gagal mendapatkan suaka di Kedutaan Israel di Washington dan mengaku bersalah.

Urusan pengintipan memalukan Israel dan mencemarkan hubungannya dengan Amerika Syarikat selama bertahun-tahun.-Agensi