Steven Sim ketika melakukan lawatan kerja lawatan kerja ke Ibu Pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mahu menyegerakan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022 susualan kejadian dua kes yang meragut nyawa dua pekerja di Selangor dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam kejadian di sebuah kilang kitar semula di Bandar Mahkota, Banting, Selangor, seorang pekerja, Nur Ahmad Yusoff Muei terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

Manakala, R Tinesh Kumar, maut selepas kepalanya tersepit pada pintu lif di sebuah kompleks beli belah di Jalan Burma, di Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam ucapan ketika melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Steven Sim berkata, penguatkuasaan akta itu dilihat menjadi semakin penting.

Beliau turut menegaskan, NIOSH akan memberi komitmen padu bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja terjamin.

Langkah itu juga katanya, selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan terhadap pekerja melalui penguatkuasaan akta berkenaan.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan kebajijan pekerja, NIOSH sedang giat melaksanakan pelbagai usaha  meningkatkan kesedaran kepada majikan dan pekerja untuk menyertai latihan yang ditawarkan.

Untuk mencapainya, NIOSH sedang menaik taraf program latihan sedia ada bagi memenuhi keperluan industri serta memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan dan capaian program-program latihan yang dianjurkannya. – MalaysiaGazette