KUALA LUMPUR – Dakwaan ada anggota tentera  terlibat dalam proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat adalah bercanggah dengan laporan polis yang dibuat oleh petugas parti tersebut.

Kementerian Pertahanan berkata, seramai tujuh individu yang didakwa pemegang kad pengenalan tentera atau‘pengundi hantu’ telah disiasat oleh polis dan maklumat awal mendapati meeka bukan anggota tentera.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan tersebut yang melibatkan anggota tentera.

“Memandangkan laporan polis telah dibuat, Kementerian Pertahanan akan menunggu hasil siasatan oleh PDRM,” katanya.

Menurut kementerian itu, sekiranya didapati benar terdapat anggota tentera terlibat dalam insiden yang dinyatakan,tindakan disiplin sewajarnya akan diambil ke atas mereka berdasarkan perkara yang termaktub di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bil 3/1972 serta arahan semasa dari markas setiap perkhidmatan yang melarang penglibatan anggota ATM dalam kegiatan politik dan pilihan raya.

Semalam, hli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong telah menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan ada anggota tentera terlibat dalam pengundian pemilihan PKR Cabang Petaling Jaya Utara pada 21 Oktober lalu kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Wong berkata, dokumen pertama mengandungi nama dan butiran tiga orang yang disyaki anggota ATM yang telah mengundi di sebelah pagi pada hari pembuangan undi Pemilihan Cabang PJU, manakala dokumen kedua berkenaan penemuan 32 ahli Keadilan Cabang PJU yang didaftarkan atas beberapa alamat di Kem Angkatan Tentera Malaysia. – MalaysiaGazette