Petugas SPR memeriksa suhu badan seorang anggota polis sebelum memasuki pusat mengundi pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2020

CHINI – Tepat jam 8 pagi tadi, pusat mengundi di Balai Polis Chini dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Proses pengundian awal hari ini menyaksikan pengundi-pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas yang ditetapkan oleh SPR.

Pengundi diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung serta menggunakan pencuci pembasmi kuman sebelum dibenarkan mengundi.

Mereka juga diwajibkan menjalani saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi dan diberikan kertas undi awal.

Pengundi paling awal tiba ialah Koperal Muhamad Muhaidin Haripen, yang memasuki pusat pengundian pada jam 8.10 pagi.

Beliau teruja menjadi pengundi awal yang mengundi dalam suasana norma baharu pilihan raya.

“Saya mengundi dengan mematuhi SOP, sekali gus merupakan senario baru. Jadi mana-mana individu yang akan mengundi kena patuhi arahan yang ditetapkan.

”Mula-mula kita akan daftar mengundi di pintu masuk dan perhatikan garisan jarak sosial yang disediakan dan ikut. Sampai ke titik pertama kita perlu jalani saringan suhu badan, pakai hand sanitizer masuk ke dalam pakai lagi sekali hand sanitizer baru pegawai SPR akan calitkan dakwat kekal dan pakaikan sarung tangan dan penutup mulut dan hidung sebelum mengundi,” katanya ketika ditemui di sini.

Balai Polis Chini merupakan satu-satunya pusat pengundian awal.

Proses mengundi akan ditutup pada jam 12 tengah hari.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, satu prosedur operasi standard (SOP) khas akan digunapakai sepanjang PRK DUN Chini, yang berlangsung semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 10 perkara diberi penekanan dalam SOP khas tersebut.

Salah satunya adalah kawalan kehadiran dalam jumlah yang minimum, selain amalan penjarakan sosial yang perlu sentiasa dipatuhi di pusat pengundian.

Pengundi yang mempunyai gejala seperti dengan dengan suhu badan melebihi 37.5C atau memiliki gejala Covid-19 akan diasingkan di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

Untuk rekod, PRK DUN Chini mencatat sejarah tersendiri kerana yang pertama diadakan selepas Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin. – MalaysiaGazette