Peniaga Melayu mula mengosongkan gerai masing-masing selepas diarah berbuat demikian bermula Selasa lalu.
Peniaga Melayu mula mengosongkan gerai masing-masing selepas diarah berbuat demikian bermula Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kesal dengan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengarahkan peniaga kecil di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim keluar dari kawasan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Katanya, peniaga berkenaan, yang semuanya anak muda telah menjalani perniagaan makanan di kawasan itu sejak sekian lama.

Bagaimanapun, kata beliau, mereka diarahkan keluar dari kawasan berkenaan bermula Selasa itu dengan pelbagai alasan termasuk larangan memasak.

“Semua gerai kecil di hadapan lapangan terbang itu di arah keluar Selasa lalu atas pelbagai alasan termasuklah dilarang memasak.

“Mereka sudah berniaga bertahun-tahun di situ dengan majoriti pekerja adalah anak muda lepasan sekolah,” katanya menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ramai dari kalangan peniaga di situ mempunyai komitmen kehidupan terhadap keluarga termasuk yang baharu mendirikan rumah tangga.

“Mereka menangis menceritakan perkara itu kepada saya. Mengapakah mereka yang kebanyakannya menyokong Pakatan Harapan (PH) tidak diberi pembelaan?

“Mengapa lapangan terbang lain membenarkan peniaga memasak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Subang? Mengapa orang Kedah dilayan begini?” ujarnya.

Kata Shahidan, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta beliau menyelesaikan kes itu, selain menasihatkan peniaga terbabit agar bersabar. – MalaysiaGazette