Para pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan telah menjual nama program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjerat mangsa menyerahkan hasil titik peluh mereka.

Sinchew Daily melaporkan, khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan berleluasa kebelakangan ini dengan mendakwa akaun bank pengguna dibekukan semasa bank sedang mengendalikan urusan i-Sinar.

Sindiket penipuan juga meminta mangsa menghubungi satu talian bagi mengelakkan pembekuan akaun bank.

Selain penipuan SMS, banyak skim pelaburan juga muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan sehingga dibimbangi terdapat udang di sebalik batu.

Polis justeru meminta orang ramai supaya berhati-hati dan tidak melabur ke dalam skim pelaburan yang mencurigakan atau tidak tahu asal-usulnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, orang ramai perlu berwaspada dengan pihak tertentu yang mengintai duit titik peluh mereka.

“Wang KWSP ini memang dapat membantu mereka yang memerlukan, tetapi polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pengeluaran melainkan betul-betul memerlukan duit berkenaan,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Beliau mengingatkan, pengeluaran simpanan melalui i-Sinar tidak harus bertujuan untuk melabur dalam skim-skim yang mencurigakan.

“Tindakan melabur hasil simpanan dalam skim-skim yang asal-usulnya tidak jejas adalah sangat berisiko,” tegasnya.

Zainuddin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak memohon pengeluaran melalui orang tengah, tetapi tuan punya badan harus berkunjung ke pejabat KWSP.

“Walaupun polis belum menerima apa-apa aduan setakat ini, tetapi kami mensyaki memang ada orang yang cuba untuk menipu.

“Polis justeru meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada,” katanya. – MalaysiaGazette