Diantara ahli kumpulan ‘Geng Kabali’ dibawa ke mahkamah menjalani pertuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 13 DISEMBER 2022.

SEREMBAN – Sekumpulan 10 orang ahli Geng Kabali dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang pada 2019 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketetapan itu dibuat Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Hukuman itu dikenakan kepada S. Viven, 23; R. Jeevanraj, 25; S. Sivabalan, 26; R. Kamal Rajh; G. Kartik, 28; L. Navinraj, 29; G. Ravikumar, 30; R. Kunasekaran, 34 dan K. Sarugunan, 41.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara bermula daripada tarikh kesemua tertuduh ditangkap pada Disember 2019.

Mahkhama tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap 10 ahli kumpulan ‘Geng Kabali’ menjalani pertuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 13 DISEMBER 2022.

Manakala seorang lagi tertuduh, S. Subramaniam, 53, didenda RM3,000 tetapi dikecualikan pembayarannya kerana mengambil kira telah menjalani reman selama 463 hari.

Tertuduh, S. Subramaniam didenda Rm 3,000 namun dikecuali pembayaranya dengan mengambil kira telah menjalani reman selama 463 hari di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 13 DISEMBER 2022.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didapati menjadi anggota Geng Kabali, satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang antara 1 Februari hingga 27 November 2019 di sebatang lorong kecil di tepi jalan besar Batu 12 1/2, Jalan Rantau-Siliau, Rantau.

Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda yang tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Syafiq Hasim menawarkan pemindahan pertuduhan daripada Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kesemua tertuduh hanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan bagi kesalahan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Peguam, V. Muniandy, Gowri Subaiyyah, dan Muhammad Afiq Yahawa mewakili tertuduh R. Jeevanraj, S. Sivabalan, R. Kamal Rajh, R. Kunasekaran dan S. Ilangovan.

James Thanjung Tuan mewakili S. Viven dan K. Sarugunan, manakala Paul Krishnan Raja mewakili T. Ravikumar dan T. Kartik.

Sementara itu, Sukhdave Singh mewakili L. Navinraj manakala S. Karthigesan mewakili S. Subramaniam.

Dalam pada itu, Karthigesan dalam hujahan rayuannya memohon anak guamnya, Subramaniam didenda tanpa bayaran dengan mengambil tertuduh telah direman selama 463 hari selain mengidap penyakit kronik serta faktor usia.

Sepanjang perbicaraan kes ini, seramai 40 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Difahamkan, semua tertuduh dibebaskan memandangkan hukuman yang ditetapkan berjalan bermula tarikh mereka ditangkap.

Sebelum ini, media melaporkan Geng Kabali yang disyaki terbabit sekurang-kurangnya 65 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan berjaya ditumpaskan apabila polis menahan 19 ahlinya melalui Ops Kelawar sepanjang November hingga Disember 2019.

Menurut polis, geng itu dipercayai aktif melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata sejak 2017 yang menyasarkan mangsa di kediaman dan pengurup wang. -MalaysiaGazette