Mohamed Azmin Ali. Foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Penjawat awam akan menghukum Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas sikap angkuh mereka semasa berkuasa dahulu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat tidak mahu pemimpin dan kerajaan yang bergaduh serta memperkudakan pegawai kerajaan.

“Saya katakan di sini, sebaik sahaja dibentuk kerajaan, lapan menteri Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya lapan ketua setiausaha ditukar dari kementerian masing-masing.

“Masuk dalam Kabinet, ingin bergaduh dengan penjawat awam, menukar pegawai kerajaan termasuk lapan ketua setiausaha,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Prihatin anjuran PN di Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Mohamed Azmin mendakwa, keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Tambun dipercayai mempunyai kaitan untuk memperkukuhkan agenda koridor DAP di Perak.

“Orang Melayu, rakyat Malaysia, Cina, India dan kaum lain kena faham, kita tidak boleh terima parti perkauman sempit dan kita mesti tolak PH pada PRU-15,” tegasnya.

Mohamed Azmin menambah, rakyat perlu memilih PN pada PRU-15 sekiranya mereka mahu kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin.

Beliau percaya rakyat hanya akan memilih PN yang dipimpin Muhyiddin.

“Saya percaya dalam naluri rakyat Malaysia tidak ada pilihan lain melainkan PN,” jelasnya. – MalaysiaGazette