Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tiga dari kiri) mempengerusikan mesyuarat hari kedua Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (empat dari kiri). Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Perkara melibatkan pentadbiran agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan pengerusinya antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-265.

Mesyuarat itu telah berlangsung dua hari sejak 21 Februari lalu dipengerusikan oleh Sultan Selangor.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Selain itu, cadangan-cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023, dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal kewarganegaraan.

Mesyuarat berkenaan turut disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Sultan Selangor yang mempengerusikan mesyuarat tersebut bertitah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Memandangkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 yang pertama kali dihadiri Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor mewakili Majlis Raja-Raja menzahirkan titah tahniah kepada Seri Paduka dan seterusnya disahuti dengan titah balas Yang di-Pertuan Agong.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Selain itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Yang di-Pertuan Agong turut berangkat pada mesyuarat hari kedua diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette