Kredit: JBPM Perak

IPOH – Malang tidak berbau apabila seorang penternak berusia 56 tahun cedera parah setelah tangan kirinya tersepit di dalam mesin shreader menghancurkan rumput untuk makanan lembu dalam kejadian di Jalan Kampung Samy, Tapah, petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian pukul 4.19 petang itu menyebabkan kelima-lima jari sehingga ke pergelangan tangan lelaki itu cedera parah.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa lelaki itu hendak memberi makan lembu-lembu ternakannya, apabila semasa memasukkan rumput ke dalam mesin untuk dihancurkan, tangan kirinya termasuk dan tersepit ke dalam mesin berkenaan.

“Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan  lanjut,” katanya dalam kenyataan. – BERNAMA