Ahmad Bilal Rahudin
Ahmad Bilal Rahudin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Melaka kecewa sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil ke atas penghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Selain itu, tegas ketuanya, Ahmad Bilal Rahudin tidak ada satu suara pun dari pihak berkuasa terutama kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi nasihat mahupun peringatan atas perbuatan melampau serta mengaibkan maruah Nabi Muhammad SAW.

Katanya, walaupun umat zaman ini tidak pernah menatap wajah dan bertemu batang tubuh Rasulullah tetapi keimanan dalam diri membuktikan kecintaan mereka kepada baginda.

Lantaran itu, jelas beliau, tidak sedikit merasa cedera, sakit dan marah tatkala kehinaan dilemparkan mencemari kemuliaan nabi.

“Anehnya sehingga detik ini, tiada satupun suara dari mereka yang berkuasa memberi nasihat mahupun peringatan atas perbuatan melampau dan mengaibkan maruah Nabi umat ini.

“Bahkan, tidak menjadi satu rahsia lagi apabila hal ehwal agama Islam dicampur tangan sewenangnya, diperlekeh dan dipermainkan.

“Soalnya, kenapa ianya terjadi dan semakin menjadi-jadi sejak negara ini bertukar teraju pemerintahan kepada PH pasca PRU-14,” katanya dalam kenyataan keada media hari ini.

Beliau berkata, keceluparan, kebiadaban dan kurang ajar segelintir manusia anti Islam seolah menjadi keberanian mereka menghina tonggak tertinggi agama, iaitu Allah dan pesuruh-Nya, Rasulullah.

“Di mana para pembela terkuat untuk mencegah atau bertindak dengan tangan atas kuasa dimiliki dan kepercayaan yang dimandatkan?

Apakah jawatan telah jadi kebanggaan, keselesaan dan kemudahan? Atau tangan diikat terbelenggu kerana tunduk patuh pada kepentingan yang dikhuatiri hilang?

“Jika demikian jadinya, tidak hairanlah kesucian agama umpama buih di lautan yang begitu mudah diceroboh, malah menunggu saat ia terbuka untuk ditindas dan dihabiskan,” katanya.

Ahmad Bilal berkata, petanda itu sudahpun zahir nyata, apabila suara umat ini dilayan secara sengketa dan diabaikan, lalu membibitkan fitnah perpecahan.

Akhirnya siapa yang untung dan diuntungkan? Sebaliknya individu yang masyhur diketahui umat telah menyinggung tonggak, kuasa dan institusi agama ini boleh dibentang jalan mudah.

Kata beliau, semua rule of law yang diperundangkan dengan catatan bertulis di mana sebelumnya dibentang bahas, dilulus dan diwartakan, akhirnya ‘dilepas bebaskan’ oleh kuasa politikus?

“Apa nilainya Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara jika semua itu akhirnya dibakulsampahkan.

“Ingatlah kuasa yang Allah dipenggalkan kepada makhluk; Dia berikan kerajaan kepada orang yang Dia kehendaki dan Dia cabut kerajaan dari orang Dia kehendaki,” katanya. – MalaysiaGazette