Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan hari ini berhimpun di Bangkok sambil mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik.- Gambar Bangkok Post.

BANGKOK – Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan hari ini berhimpun di Bangkok sambil mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik ketika ketegangan kian meningkat apabila pihak berkuasa memberi amaran akan menggunakan undang-undang ketat lèse-majesté berhubung kenyataan yang dibuat pada demonstrasi itu.

Para penunjuk perasaan yang memakai baju hitam berkumpul di luar ibu pejabat Siam Commercial Bank (SCB Bank) di Jalan Ratchadaphisek dalam daerah Chatuchak di Bangkok.

Berbanding berhimpun di Monumen Demokrasi dan berarak ke Biro Harta Mahkota, venue tunjuk perasaan ditukar bagi mengelak konfrontasi dengan kumpulan penyokong keluarga diraja yang turut merancang turun padang hari ini untuk mempertahankan monarki.

Penunjuk perasaan mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik termasuk mendesak perdana menteri berundur, pembubaran parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

Media tempatan melaporkan bahawa polis telah memanggil beberapa pemimpin utama pelajar untuk berdepan undang-undang lèse-majesté susulan kenyataan yang dibuat berhubung reformasi monarki di beberapa perhimpunan baru-baru ini.

Mengikut Seksyen 112 Kanun Keseksaan Thailand, yang juga dikenali sebagai undang-undang lèse-majesté, sesiapa yang memfitnah, menghina atau mengugut Maharaja, Permaisuri, Putera Mahkota atau pewaris takhta, hendaklah dihukum penjara antara tiga hingga 15 tahun.

Ini merupakan kali pertama pertuduhan sedemikian digunakan sejak awal 2018.

Pemimpin pelajar, Parit Chiwarak membuat hantaran di akaun Twitter yang mengesahkan bahawa polis telah memanggil beliau untuk disoal-siasat mengikut undang-undang lèse-majesté dan Akta Jenayah Komputer.

Sementara itu, Thai Lawyers for Human Rights berkata sekurang-kurangnya pemimpin tunjuk perasaan telah dipanggil termasuk peguam hak asasi manusia Anon Nampa, Panupong Jaadnok dan Panusaya Sithijirawattanakul.

Minggu lepas, tunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen bertukar ganas yang menyaksikan 55 orang cedera termasuk enam dengan luka akibat tembakan.- BERNAMA