Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Penurunan paras air di Sungai Muda, Kedah akibat musim kemarau tidak akan menghalang Pulau Pinang mengesktrak sumber air dari sungai itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya memantau paras air Sungai Muda bagi memastikan bekalan sumber air di Pulau Pinang tidak terjejas.

“Pam yang dipasang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di dasar sungai cukup dalam untuk terus mengeluarkan air walaupun paras air sungai itu menurun

“Malah paras air Sungai Muda dikawal dua empangan di Kedah dan saya percaya mereka yang bertanggungjawab akan memastikan bekalan air sungai mencukupi untuk keperluan pertanian dan pengguna,” katanya mengulas kenyataan dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) berhubung trend penurunan air paras Sungai Muda.

Semalam SADA dalam satu kenyataan melaporkan, paras Sungai Muda yang melibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani / Pinang Tunggal menunjukkan trend penurunan dan berisiko terjadi gangguan bekalan air melibatkan pengguna di Daerah Kuala Muda.

Katanya, kejadian penurunan paras sungai itu disebabkan kemarau yang berterusan sekali gus menyebabkan bekalan air mentah berkurangan.

“Bagi menangani masalah ini, pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) & Pejabat Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah menambah kuantiti perlepasan sumber air dari Empangan Beris dari 10 cumec kepada 15 cumec bagi menstabilkan semula paras air Sungai Muda.

“Sehingga kini LRA yang terlibat masih beroperasi 100 peratus namun pihak SADA menyarankan agar pengguna dapat melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah,” katanya. – MalaysiaGazette