Tan Sri Annuar Musa

KEPALA BATAS – Penutupan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu dijadikan bahan sentimen untuk dipermainkan, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, 1MDB telah mengikuti pelan rasionalisasi dan syarikat berkenaan juga telah menyelesaikan sebahagian daripada hutang serta tidak ada sebarang hutang jangka pendek dan syarikat terbabit juga telah berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan baik.

“Berdasarkan kepada perakuan yang dibuat oleh laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), aset tanah terutamanya sudah pun dipindahkan kepada Minister Of Finance Incorporated.

“1MDB dibuat dengan niat yang baik kemudian difitnahkan, ditelanjangkan dan digodak. Jadi kalau wujud pun ia sudah sukar hendak menjalankan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Minda & Sesi Dialog Perjuangan For All malam tadi.

Program itu menampilkan Anggota Parlimen Kepala Batas yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Anggota Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul sebagai ahli panel manakala Annuar bertindak sebagai moderator pada majlis yang berlangsung di Permatang Langsat, di sini.

Selasa lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah dilapor berkata, 1MDB akan ditutup selepas semua hutangnya selesai dibayar. – Bernama