Mohd Amali Masturo berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tuduhan mengedar 1.4 kilogram dadah jenis heroin, 2 Februari lalu.

MELAKA – Seorang penyelia syarikat keselamatan berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini hari ini atas tuduhan mengedar 1.4 kilogram dadah jenis heroin, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, Mohd Amali Masturo, 36, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis heroin yang mengandungi berat kasar 1,424.45 gram dilakukan di tepi Jalan TU 60, Taman Tasik Utama berhadapan Pangsapuri Sri Utama, Ayer Keroh pada pukul 9 malam, 2 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia. – MalaysiaGazette.