Taman Negara Tanjung Piai bakal menjadi tumpuan ramai berikutan fenomena air pasang besar dijangka berlaku esok sehingga Sabtu nanti.

PONTIAN – Paras air di Tanjung Piau, dekat sini masih normal, namun ia dijangka meningkat pada Sabtu ini berikutan fenomena air pasang.

Pengurus Taman Negara Tanjung Piai (TNTP), Lili Tokiman berkata, berdasarkan makluman daripada Jabatan Laut, paras air esok masih terkawal iaitu pada ketinggian 3.2 meter daripada paras laut.

“Untuk makluman di sini (TNTP) adalah kawasan utama dan menjadi kebiasaan orang ramai akan melihat air pasang besar di sini.

“Untuk pengetahuan jika fenomena ini berlaku, air akan terus menyusuri fasiliti kami dan ini antara tarikan unik yang ditunggu-tunggu pengunjung jika datang ke sini pada hujung tahun.

“Cuma sekarang kami dapat maklumat perairan di sekitar kawasan ini masih berada di paras rendah iaitu 3.2 meter dan untuk berlakunya limpahan ia perlu dalam ketinggian 3.5 meter dan kita jangkakan ia berlaku pada hari Sabtu ini ,” katanya ketika ditemui di sini.

Difahamkan limpahan air dijangka berlaku di sekitar di Tanjung Piai iaitu pesisiran pantai Kukup yang hanya empat kilometer daripada kawasan berkenaan.

Bagaimanapun jelas Lili, pihaknya  telah bersedia daripada segi kawalan keselamatan dan pemantauan pengunjung ketika berlakunya fenomena air pasang besar pada Sabtu nanti di kawasan berkenaan.

“Kita jangkakan kunjungan yang ramai pada Sabtu nanti, disebabkan sekarang pun masih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kita akan tetapkan jumlah kunjungan dan kawal daripada segi penjarakan sosial,” katanya.

Pengunjung, Mohamad Idzwan Tarikh Afandi, 36, berkata, dia bersama rakannya mengambil kesempatan untuk singgah di Tanjung Piai bagi  melihat sendiri kawasan hujung benua Asia itu.

“Ini kali pertama saya sampai. Kebetulan orang kata jika air pasang besar kawasan ini memang meriah jadi kami pun mahu tengok sendiri cuma tiada rezeki.

“Saya memang suka kawasan sebegini, tenang dan hijau, susah jika nak jumpa lagi jika tinggal di bandar,” katanya.

Fenomena air pasang besar di TNTP kebiasaannya berlaku dalam tempoh dua jam. – MalaysiaGazette