Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua,kanan) menyampaikan anugerah Syarikat Harmoni 2022 kepada Pengerusi Unisem (M) Berhad John Chia (kiri) pada majlis Makan Malam Tahunan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) ke-55 di Hotel Weil, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OKTOBER 2023

IPOH – Perak akan membina makmal nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang pertama di Malaysia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, makmal itu akan dibina tiga agensi di bawah kerajaan negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menurutnya, pembinaan makmal itu sudah mendapat kebenaran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) sewaktu Mesyuarat Mineral Negara pada Isnin.

“Kita dibenar untuk membina makmal yang akan dikongsi bersama MB Inc, Perak SADC dan PKNP.

“Kita akan menjadi perintis dengan pembinaan makmal pertama dalam Malaysia yang mengendalikan  uji kaji melibatkan unsur nadir bumi, jadi mana-mana pihak dari negeri lain yang melakukan cari gali dan hendak buat ujian mereka kena datang ke Perak untuk guna pakai makmal kita,” katanya

“Jadi, kita akan mencari jalan untuk dikerumuni negeri lain bagi mengguna pakai makmal yang kita bina,” katanya.

Perak akan bina makmal NR-REE pertama di Malaysia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Perak yang diadakan di Hotel Weil, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Persekutuan. Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Perak yang diadakan di Hotel Weil, malam ini.

Hadir sama, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Perak, Chua Kay Lin.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata KeTSA turut bersetuju untuk memberi Perak kebenaran bagi memperluas operasi kawasan perlombongan NR-REE.

Tambahnya, ia bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mineral diproses dalam negara dengan meneroka pembukaan kilang-kilang bagi menghasiilkan bahan-bahan pertengahan dan hiliran NR-REE.

Katanya, setakat Julai lepas operasi projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering dekat Gerik berjaya menjana hasil royalti kepada kerajaan negeri hampir RM16 juta bagi 10 kali pengeksportan produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) ke China, berbanding RM1.66 juta bayaran royalti pertama daripada pihak penggerak perlombongan itu setakat Februari lepas. – MG Perak

Perak akan bina makmal NR-REE pertama di Malaysia