Madrasah Tahfiz Al-Jauhar.

KOTA TINGGI – Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTJ) akan mewajibkan pelajar baharu melakukan pemeriksaaan kesihatan sebelum diterima.

Itu cadangan Pengetua MTAJ, Mohammad Afdhaluddin Ismail yang mengambil iktibar daripada kes kematian Allahyarham Muhammad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi baru-baru ini.

“Kita ambil pengajaran selepas ini kita kenakan syarat ada laporan kesihatan kepada pelajar baharu,” ujarnya kepada media hari ini.

Menurut Mohammad Afdhaluddin, pihaknya menganggap kes muhammad Thaqif Amin selesai ekoran kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan yang arwah meninggal kerana jangkitan kencing tikus.

Beliau juga memberitahu, wakil kementerian ada membuat pemeriksaan kebersihan di MTAJ baru-baru ini dan menggalakkan ibu bapa membawa anak masing-masing membuat pemeriksaan kesihatan.

Sebelum itu, kes kematian Muhammad Thaqif Amin menjadi kontroversi dengan dakwaan arwah dipukul oleh pembantu warden dengan getah paip.

Pihaknya juga masih menunggu keputusan pendakwaraya kemungkinan ada perubahan atau tidak dalam dakwaan kepada bekas pembantu warden di MTAJ.

Ditanya sama ada arwah ada mengikuti program luar semasa di MTAJ atau menghadiri jemputan di luar sekolah sehingga terdedah kepada jangkitan kuman kencing tikus beliau menafikannya.

Menurutnya, MTAJ jarang memenuhi undangan pihak luar kerana mahu pelajarnya menumpukan perhatian kepada pembelajaran.

Beliau dalam masa yang sama mahu masyarakat tidak meletakkan kesalahan terhadap MTAJ walaupun bekas pembantu wardennya didapati bersalah sekali pun.

“Memukul pelajar bukan peraturan kami biasanya dalam 10 kesalahan sembilan daripadanya kita maafkan dan hukuman dilakukan lebih kepada meminta mereka solat taubat, berzikir dan sebat adalah pilihan terakhir,” jelasnya lagi.

Menurutnya, kes mangsa dipukul dengan getah paip pun di luar pengetahuan pihak pengurusan dan menafikannya ia dera kerana hanya berlaku satu kes sahaja bukan berpanjangan.- MalaysiaGazette