KUALA LUMPUR – Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit merekodkan sebanyak RM111.4 bilion pada Ogos 2020 dengan pertumbuhan negatif
2.3 peratus tahun ke tahun.

Prestasi ini lebih baik berbanding -3.5 peratus pada Julai 2020.

Manakala berbanding Julai 2020, nilai jualan bulan ke bulan terus menunjukkan pertumbuhan positif 2.5 peratus pada Ogos 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan ini merupakan yang tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dilaksanakan disebabkan oleh Covid-19, mengatasi nilai jualan sebelum PKP yang dicatatkan pada Februari 2020 berjumlah RM109.0 bilion.

Semua subsektor terus menunjukkan pemulihan, didorong oleh Kenderaan Bermotor yang merekodkan pertumbuhan positif dua bulan berturut-turut untuk merekodkan 1.0 peratus berbanding Ogos 2019.

Perdagangan Runcit turut berada di landasan pemulihan dengan -1.5 peratus daripada -3.8 peratus pada bulan sebelum.

Perdagangan Borong juga bertambah baik daripada -4.5 peratus pada Julai 2020 kepada -3.9 peratus pada bulan Ogos 2020.

Menurutnya, subsektor Kenderaan Bermotor, Jualan Kenderaan Bermotor merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu 3.1 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM7.9 bilion.

Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Ini diikuti oleh Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.0 bilion, meningkat 2.4 peratus, sebaliknya, Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor menguncup 2.6 peratus untuk merekodkan RM3.1 bilion.

Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor juga merosot 2.3 peratus kepada RM1.7 bilion.

Bagi Perdagangan Runcit, pertumbuhan negatif 1.5 peratus adalah disebabkan kejatuhan dalam jualan barangan non-essential iaitu Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi dengan -9.7 peratus, Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan -7.2 peratus, Jualan Runcit Peralatan Isi Rumah -4.2 peratus dan Jualan Runcit Kelengkapan Informasi & Komunikasi -3.8 peratus. Sementara itu, jualan barangan perlu merekodkan pertumbuhan positif terutama Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang mencatatkan 4.7 peratus kepada RM16.7 bilion tahun ke tahun.

Ini diikuti oleh Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau yang meningkat 5.7 peratus kepada RM2.9 bilion. Jualan Runcit di Gerai & Pasar turut
berkembang 9.8 peratus kepada RM0.1 bilion. Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar juga menokok untuk merekodkan RM0.4 bilion atau
6.8 peratus.

Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, kejatuhan -3.9 peratus pada Ogos 2020 adalah disebabkan oleh Lain-lain Pengkhususan
Jualan Borong dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran masing-masing -13.5 peratus dan -6.2 peratus.

Walau bagaimanapun, Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau meningkat 3.8 peratus kepada RM10.4 bilion. Ini diikuti oleh Jualan
Borong Barangan Isi Rumah yang naik 2.9 peratus kepada RM10.7 bilion, menurut Mohd Uzir.

Jualan Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup juga berkembang 3.0 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.5 bilion.”

Bagi perbandingan bulan ke bulan yang mencatatkan 2.5 peratus, ia diterajui oleh Perdagangan Borong dengan 3.7 peratus atau pertambahan RM1.8 bilion.
Perdagangan Runcit juga meningkat RM1.0 bilion atau 2.3 peratus pada tempoh yang sama.

Namun, Kenderaan Bermotor merosot 0.7 peratus atau penyusutan RM0.1 bilion.

Indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut berkembang dengan merekodkan pertumbuhan 37.4 peratus tahun ke tahun.

Manakala bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit tumbuh -2.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Beliau seterusnya memaklumkan
bahawa kejatuhan ini disebabkan oleh Perdagangan Borong yang merekodkan -3.4 peratus.

Ini diikuti oleh Perdagangan Runcit yang menguncup 2.3 peratus.

Sebaliknya, Kenderaan Bermotor terus berkembang untuk mencatatkan pertumbuhan positif 0.9 peratus. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia
meningkat 2.4 peratus bulan ke bulan. – MalaysiaGazette