Nama dan gambar ini adalah dari agensi mencari jodoh, tapi digunakan dalam laman web Cambridge International University.
Nama dan gambar ini adalah dari agensi mencari jodoh, tapi digunakan dalam laman web Cambridge International University.

KUALA LUMPUR – Untung sesiapa belajar di Cambridge International University (CIU) kerana pensyarah atau profesor perempuan di situ kebanyakannya masih muda.

Demikian seloroh Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan yang memuatnaik status perkongsiannya mengenai universiti berkenaan.

Nama universiti itu menjadi kontroversi kebelakangan ini selepas pendedahan dibuat oleh netizen berhubung sijil pengajian dimiliki Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Timbalan Menteri dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini mendakwa memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentdabiran Perniagaan dari University of Cambridge, England.

Bagaimanapun, selepas didedahkan universiti itu tidak menawarkan ijazah pengajian berkenaan, beliau akhirnya mengakui memperolehi sijil itu dari Cambridge International University di Amerika Syarikat.

Menurut Shahir, beliau turut membuat pencarian di Google mengenai universiti di AS itu dan mendapati nama profesornya tidak sepadan dengan gambar.

“Kawan-kawan saya ada kongsi sedikit maklumat mengenai Cambridge International University. Kalau google nama profesor di situ, semuanya tidak sama nama dan gambar.

“Lagi menarik, profesor perempuan di universiti itu kebanyakannya muda-muda. Untung siapa belajar di situ,” katanya.

Menurut warganet itu lagi, sijil itu dikatakan langsung tidak diiktiraf oleh Setiausaha Pendidikan AS, tetapi mungkin di Malaysia diterima oleh abam (abang) Masz.

shahir adnan
Shahril Adnan

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Ikatan Kelantan berkata, baginya bukan soal sama ada timbalan menteri itu perlu mendapatkan pendidikan tinggi atau pun tidak.

Isunya, tegas beliau, adalah mengenai ketelusan dan integriti seseorang pemimpin.

“Jika beliau dari awal lagi menyatakan perkara sebenarnya, rakyat tidak perlu menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing, yang akhirnya terbongkar fakta sebenar. Yang malu adalah empunya badan sendiri dan parti mereka,” katanya.

Dari sudut lain, kata Shahir, bagaimanakah integriti seseorang pemimpin dinilai apabila beliau mendapatkan sijil pendidikan dari sebuah institusi yang sebenarnya tidak diiktiraf oleh negara tersebut.

“Malah, laman web universiti tersebut amat meragukan dengan gambar dan nama profesor yang tidak padan. Laporan dari portal berita pula menyatakan gambar tersebut adalah dari laman mencari jodoh.

“Amat malang apabila anak muda yang bertungkus-lumus untuk mendapatkan sijil pendidikan tinggi sehingga terpaksa berhutang dengan PTPTN, tetapi pemimpin sebelah sana hanya membayar sejumlah kecil wang dan mendapat sijil luar negara yang tidak sah,” ujarnya. – MalaysiaGazette