Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

BATU CAVES – Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan parti susulan tindakan enam ahli Parlimennya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhimpunan khas itu meminda Perlembagaan Bersatu melibatkan Fasal 10 Pemberhentian dan Pemecatan Ahli yang disokong sebulat suara 1,996 perwakilan yang hadir, hari ini.

“Mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), selari dengan Fasal 10.5 disifatkan sebagai terhenti keahliannya dan parti Bersatu secara serta-merta.

“MPT boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri.

“Semua arahan yang dikeluarkan di bawah Fasal ini hendaklah dibuat secara bertulis,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini, hari ini.

Setakat ini, enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Muhyiddin berkata, Setiausaha Agung di atas arahan MPT hendaklah mengeluarkan satu notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah berhenti secara serta-merta.

“Nama beliau telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti Bersatu,” katanya.

Pindaan Perlembagaan Bersatu hari ini selaras dengan Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu pelaksanaan peraturan Akta Anti Lompat Parti 2022. – MalaysiaGazette