Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2022 akan diadakan pada 3 hingga 5 Mac ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia ditetapkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan semalam dan selaras dengan Fasal 12.2 Perlembagaan parti berkenaan.

“MPT juga telah membincangkan laporan pascanilai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Hamzah, Persidangan Cawangan 2023 akan diadakan pada 1 Julai hingga 31 Ogos, Persidangan Sayap-Sayap Bahagian pada 7 Oktober, Persidangan Bahagian pada 21 Oktober dan Perhimpunan Agung Tahunan 2023 dari 23 hingga 25 November tahun ini.

“Sehubungan itu, pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa Cawangan, Bahagian dan Ahli MPT bagi penggal yang baharu akan diadakan pada tarikh-tarikh seperti di atas selaras dengan perlembagaan parti,” katanya. – MalaysiaGazette