Ts. Dr. Aswami Ariffin

KUALA LUMPUR – Malaysia dilaporkan memiliki lebih 25 juta pengguna internet termasuk Facebook (FB) yang aktif terdedah risiko kecurian data jika pencerobohan siber berlaku.

Pencerobohan akaun FB dipercayai boleh berlaku dengan kaedah “phishing” atau pancingan data dan juga perisian jahat yang mencuri kata laluan pengguna FB.

Presiden Persatuan Penyelidik Forensik Digital, Ts. Dr. Aswami Ariffin berkata, perisian jahat seperti “trojan” mempunyai keupayaan keylogger untuk membuat salinan papan kekunci apa sahaja yang ditekan oleh pengguna komputer termasuk data nombor akaun bank dan alamat rumah.

Katanya, perisian jahat ini boleh dipasang ketika pemilik gajet elektronik, komputer atau telefon bimbit menyerahkan gajet mereka kepada pihak lain yang berkemungkinan ada niat jahat.

“Sebagai contoh apabila telefon mereka rosak lalu dihantar kepada tukang baiki telefon yang tidak bertauliah atau mereka meminjamkan telefon mereka kepada orang yang dikenali atau sebaliknya dan sengaja atau tidak melawati laman web jahat.

“Keadaan ini kerap kali berlaku menyebabkan pemilik berkenaan tanpa sedar perisian jahat sudah ada dalam telefon mereka.

“Dalam waktu PKP ini kadar kes yang diterima MyCERT telah meningkat sebanyak lebih kurang 82.5 peratus berhubung purata kes keselamatan siber secara keseluruhan jika dibandingkan tahun lalu.

“Kebanyakan gajet sudah pasti ada aplikasi media social seperti FB, Instagram atau Twitter yang menjadi sasaran utama pengodam untuk mencuri data-data peribadi,” katanya kepada wartawan.

Beliau mengulas pendedahan seorang peniaga wanita, terkejut apabila akaun FB miliknya, dipercayai digodam dan dikawal secara jauh sebelum menyiarkan komen berbaur perkauman di laman FB orang lain.

Mangsa buli siber, Norlizah Moideen, 36, dilaporkan berkata insiden itu disedari adik lelakinya yang ternampak komen daripada FB miliknya menghina kaum Melayu yang ditularkan di media sosial.

Artikel berkaitan: Akaun FB diceroboh siar komen berbaur perkauman

Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Seri Alam, Johor jam 8 pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Aswami yang juga Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, Cyber Security Malaysia (CSM) menasihati orang ramai supaya tidak sewenangnya menyerahkan telefon terutama kepada orang asing.

“Selain itu, pastikan kata laluan tidak sama digunakan untuk perbankan dalam talian atau media sosial.

“Sentiasa tukar kata laluan dari masa ke semasa dan tingkatkan keselamatan kata laluan di media sosial dan apa jua yang berkaitan transaksi atas talian,” katanya.

Tambah beliau, mangsa boleh hubungi pusat bantuan Cyber999 bagi melaporkan insiden pencerobohan dan kes-kes yang berkaitan keselamatan siber.

“Disyorkan kepada pengguna memasang perisian anti virus kepada semua peranti mudah alih dan sentiasa kemaskini antivirus tersebut.

“Penceroboh jika dapat dikesan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 atau yang berkaitan untuk tujuan pendakwaan.

Tambahnya, FB boleh dipulihkan tetapi pengguna sendiri perlu memaklumkan kepada FB.

Bagi pengesahan diri serta berikan bukti-bukti bahawa akaun digunapakai oleh pihak ketiga.

Sementara itu, Nor Lizah ketika dihubungi memaklumkan dia sudah dipanggil pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Johor Bharu petang Ahad bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan FB. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yahoo pun dh byk kali bgitau yg da org cuba nk tukar password sya mgkin x dpt sb no.tel.. kurang ajar betul..

Comments are closed.