Ibrahim pada Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali keempat di Kuala Lumpur, semalam.

PERHIMPUNAN Agung Tahunan Putra kali keempat yang selesai bersidang telah membuat ketetapan 10 perkara bagi menyokong Ucapan Dasar Presiden yang diisytihar sebagai Perisytiharan Umat Melayu Islam.

Ucapan Dasar bertemakan Dilema Politik Malaysia oleh presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menetapkan seperti berikut:

1.Umat Melayu Islam berikrar dan bersumpah akan mempertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan daripada diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Islam adalah agama Allah SWT yang tidak boleh disamaratakan dengan mana-mana agama lain. Penganut lain-lain agama boleh mengamalkan agama masing-masing sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalimah Allah dan tiga kalimah Arab lain iaitu Kaabah, Baitullah dan Solat hanya boleh digunakan untuk umat Islam sahaja serta tidak boleh digunakan dalam apa jua penerbitan penganut agama-agama lain.

2.Umat Melayu Islam mendokong gagasan Proklamasi Orang Melayu yang dilancar pada tarikh keramat iaitu 26 Syaaban 1444H bersamaan 19 Mac 2023. Gagasan Proklamasi Orang Melayu ini merupakan kebangkitan kesedaran dan keinsafan umat Melayu Islam masa kini agar bumi yang dipijak tidak menjadi milik orang akibat tindakan-tindakan melampau oleh kaum minoriti dan sikap yang tidak mengenang budi daripada semangat tolak ansur umat Melayu Islam selama ini. Umat Melayu Islam menolak dan menentang dengan tegas konsep Malaysian Malaysia dan Deklarasi Setapak 1967 yang dipelopori dan diperjuangkan oleh golongan ekstremis dan perkauman kerana ianya bertentangan dengan semangat Kontrak Sosial dan asas Perlembagaan Negara.

3.Umat Melayu Islam menolak dengan tegas amalan budaya kehidupan LGBT dan gaya hidup songsang di luar tabii yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam termasuk pemikiran konsep pluralisma dan liberalisma yang melampau serta bertentangan dengan norma-norma budaya tempatan. Umat Islam menerima konsep hak asasi manusia setakat mana yang tidak bertentangan dengan syariah, akidah dan ajaran Islam.

4.Umat Melayu Islam menyokong program membasmi kemiskinan B40 tanpa mengira kaum untuk golongan B40, namun bertegas pengagihan kek ekonomi negara mestilah berdasarkan nisbah jumlah kaum secara adil dan saksama. Pemerkasaan hak keistimewaan orang Melayu wajiblah dilaksana dengan tegas mengikut Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Semua dasar induk pembangunan ekonomi negara wajib berteraskan kepada Kontrak Sosial yang dipersetujui bersama dan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menentukan pembahagian kek ekonomi negara antara kaum terlaksana dengan sempurna dan bukan setakat retorik sahaja. Umat Melayu Islam bertegas tidak lagi mahu terjebak dengan politik ibarat kata ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’. Jika kaum majoriti berada dalam tahap kemiskinan dan jurang perbedaan ekonomi yang ketara di mana kaum minoriti menguasai lebih dari 60% kek ekonomi negara, ianya menjurus kepada ancaman terhadap keselamatan negara.

5.Umat Melayu Islam mendesak dan berikrar akan berjuang ‘Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata’ agar dikembalikan kedudukan keluasan peratus Tanah Rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12 peratus daripada 50 peratus berdasarkan keseluruhan tanah negara ini sejajar dengan wasiat Raja-Raja Melayu. Tanah Rizab Melayu terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana jika tidak diganti ianya merupakan satu kesalahan jenayah. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hendaklah ditubuhkan dengan segera bagi menyelesaikan isu Tanah Rizab Melayu yang tidak diganti dan ada yang bertukar hak milik kepada orang bukan Melayu. Pelik tapi benar.

6.Umat Melayu Islam dan Kaum Bumiputera yang merupakan kaum majoriti rakyat Malaysia bertegas supaya sistem pendidikan hanya melalui Satu Aliran Kebangsaan sahaja seperti yang termaktub di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan. Pendidikan satu aliran akan mendorong kepada integrasi nasional dan perpaduan kaum yang berkesan dalam proses membina negara bangsa. Pendidikan yang dilaksanakan di luar Kurikulum Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah pendidikan bersifat anti-nasional dan apa-apa jua sumbangan oleh kerajaan kepada institusi ini adalah haram. Menolak dengan tegas desakan untuk pengiktirafan United Examination Certificate atau UEC kerana ianya melanggar Dasar Pelajaran Kebangsaan dan asas Perlembagaan Negara di bawah Perkara 151 dan 152.

7.Rakyat Malaysia bersatu untuk tidak berkompromi dengan isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penggubahan wang haram dan apa jua kegiatan jenayah yang merosak sistem pentadbiran negara yang akibatnya rakyat menanggung penderitaan dan sengsara. Rakyat menolak dengan tegas dan kecewa sekiranya ada pihak yang sudah didakwa di mahkamah, sudah menjalani proses perbicaraan, tetapi akhirnya ada kes-kes mungkin digugur dengan cara melalui representasi kepada Peguam Negara. Campur tangan kuasa politik dalam sistem kehakiman negara akan menjejas kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara dan menghakis keyakinan pelabur-pelabur ke Malaysia. Perasuah, penyalahgunaan kuasa, penggubahan wang haram dan apa jua yang melibatkan jenayah yang merosak pentadbiran negara adalah musuh negara dan musuh rakyat. Hukuman terhadap perasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubah wang haram hendaklah dijadikan hukuman penjara dan rotan mandatori di hadapan khalayak ramai.

8.RCI hendaklah ditubuhkan segera bagi menyiasat kedudukan sebenar status terakhir kedudukan pendatang asing yang masuk secara sah mahupun secara haram ke negara Malaysia yang telah mencecah jumlah jutaan orang. Statistik jumlah yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan adalah meragukan. Tidak sedikit pelancong-pelancong yang datang menggunakan visa pelancong dan visa pelajaran, namun tidak pulang ke tanah air setelah mereka memasuki Malaysia. Mengikut laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dianggarkan 1.2 juta warga Cina ‘hilang’ dan dijangka meningkat kepada dua juta pada tiga tahun akan datang. Jika angkara ini berterusan dan kerajaan ibarat bertindak seperti ‘Melepaskan Batok di Tangga’ sahaja, di mana ada pegawai penguatkuasa menerima rasuah sehingga pendatang asing bolos masuk ke negara dan ini akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara sekarang dan akan datang.

9.Rakyat Malaysia hendaklah bersatu dengan tegas menolak pemimpin atau parti yang dilihat tidak bersih dan tidak berintegriti. Pemimpin yang telah mengangkat sumpah dan menerima Watikah Pelantikan dari DYMM yang di-Pertuan Agong gagal mengurus ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit 1 Dolar bersamaan RM4.62 adalah terburuk dalam sejarah Malaysia, hutang negara mencecah RM1.5 trilion, peningkatan inflasi berterusan, peningkatan kos sara hidup yang menjadi-jadi, masalah pengangguran belia dan anak muda makin buruk termasuk dianggarkan satu juta graduan belum mendapat pekerjaan, ketirisan dan kehilangan wang negara akibat tidak amanah sewajarnya ditolak oleh rakyat. Rakyat juga wajib menolak pemimpin dan parti yang hanya pandai bercakap kosong atau retorik, mengamal nepotisme, pembohong dan pendusta, hipokrit dan munafik kerana sifat-sifat inilah yang membawa kepada penderitaan rakyat dan kehancuran bangsa dan negara.

10.Askar Melayu Diraja hendaklah diperbesarkan kerana mereka menjadi benteng kepada keselamatan rakyat Malaysia terutama bagi umat Melayu Islam yang merupakan kaum asal Malaysia sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu. Maka, pasukan Askar Melayu mestilah diwujudkan satu batalion di setiap negeri bagi tujuan menjaga keselamatan rakyat dan negara. Pepatah mengatakan Sediakan Payung Sebelum Hujan adalah kata-kata keramat pejuang-pejuang bangsa dahulukala.- MalaysiaGazette

PENAFIAN: Artikel ini pandangan penulis dan tidak ada kena mengena dengan MalaysiaGazette

Ibrahim Ali

Penulis ialah Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali