Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas mengadakan perbincangan di bawah rangka kerja Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura bersetuju mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perjanjian air adalah antara isu yang dibincangkan Dr Mahathir dengan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini hari ini.

Malaysia dan Singapura terikat di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962. Bagi Malaysia, menyelesaikan isu yang lama tertangguh berkaitan semakan semula harga air merupakan satu keutamaan.

“Kami mengadakan perundingan yang aktif berkaitan semakan semula itu pada lewat tahun 90-an dan 2000,” kata Dr Mahathir pada sidang media yang penuh sesak, dengan turut dihadiri Lee, selepas pemukiman itu.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

— BERNAMA