Penyanyi terkenal, Datuk Seri, Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza tiada niat untuk menunjuk-nunjuk apabila mempertahankan Palestin dengan menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan ke Tabung Bantuan Khas Palestin.

Jelas pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin itu, usaha yang dilakukan adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan belas ihsan sesama saudara Islam.

“Saya tidak ada niat lain, saya hanya hamba Allah yang ada tanggungjawab.

“Niat saya hanya satu, saya bahagia dapat berkongsi dengan anda yang telah bersama Nurjiwa Foundation membantu saudara kita di Palestin,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Sementara itu, pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang Tabung Bantuan Khas Palestin melalui yayasan miliknya, Nurjiwa Foundation.

Akui penyanyi nombor satu negara itu, wakil pihak pengurusan sekolah di bawah yayasan tersebut, Afwa Al Afiyyah di Gaza telah menyampaikan sumbangan buat rakyat Palestin.

“Pihak Nurjiwa Foundation terus menyumbang RM100,000 untuk keperluan di sana,” tulisnya.

Siti, 44, menambah, wakil di sana memaklumkan apa yang termampu kini adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu untuk setiap keluarga memberi makanan.

“Suasana di sana memang sukar apabila terlalu ramai beratur untuk membeli makanan namun itulah situasinya, apa yang terbaik dan termampu adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu supaya mereka mendapatkan keperluan.

“Kami akan terus berusaha menyalurkan sumbangan ini secara berterusan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Selain Siti, ramai artis lain seperti Neelofa, Nadhir Nasar, Zulin Aziz yang turut sama memberikan sokongan dan menyeru semua pihak untuk menyalurkan sedikit sebanyak sumbangan demi membantu mangsa yang terjejas di Palestin.

Sehingga kini, lebih 1,300 bangunan di Semenanjung Gaza telah musnah dalam serangan balas Israel.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi kemanusiaan PBB OCHA memaklumkan sebanyak 5,540 unit rumah musnah dan hampir 3,750 lagi rumah rosak teruk sehingga tidak lagi dapat didiami. – MalaysiaGazette