Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Malaysia bukan instrumen yang boleh diperlaku dan ditafsir dengan nafsu dan kehendak sang penguasa.

Ia adalah insstrumen yang dirangka untuk melindungi kepentingan negara dan bangsa bukan melindungi seorang Perdana Menteri atau mana-mana parti politik, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Justeru menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin wajar berundur secara terhormat.

“Justeru Perdana Menteri yang dihormati, masa Tan Sri telah tiba. The game is over! Serahkan kembali kuasa dan kerajaan kepada rakyat dan biarkan rakyat menentukan jalan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Mohamed Khaled, pilihan raya atau apa jua pilihan seterusnya, biarkan Agong memutuskannya dengan hikmah dan pedoman yang terbit dari segala rasa hati dan nurani rakyat.

“Amerika Syarikat mengadakan pemilihan Presiden pada waktu pandemik memuncak. Tetapi pilihan raya tersebutlah yang telah menyelamatkan Amerika, bukan sahaja dari pandemik yang lebih parah tetapi juga dari kecurangan dalam amalan demokrasi.

“Mungkin ini yang Malaysia perlukan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Muhyiddin memberi laluan secara terhormat, beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat negara ini dan mencintai tanah air ini dengan sebesar-besar cinta dan kasih.

“Malaysia mesti diberikan peluang untuk direkayasa dan dibangunkan semula. Semoga segala khidmat, darmabakti dan sumbangsih Tan Sri sebagai Perdana Menteri akan diterima sebagai amal kebaikan dan diberikan ganjaran sebaiknya di alam yang baqa nanti,” katanya.- MalaysiaGazette