Mohd Shukri Ramli
Mohd Shukri Ramli

KUALA LUMPUR – Perlis mengambil langkah bersiap siaga daripada penularan wabak Covid-19 supaya pandemik itu tidak lagi berulang.

Menteri Besarnya, Mohd Shukri Ramli berkata, bagi memastikan langkah yang bakal dilakukan kerajaan itu berjaya, semua pihak juga perlu peka dan sentiasa memberi kerjasama.

“Berikutan penularan kes Covid-19 di beberapa negara terutama China, kita mula bersiap sedia dengan beberapa langkah pencegahan.

“Kita akan lebih berhati-hati kali ini kerana kita tidak mahu wabak ini kembali menular terutama di Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, antara langkah itu ialah mengenakan syarat kepada pengusaha kedai makanan dan minuman supaya memakai pelitup muka ketika pengoperasian perniagaan.

Malah, katanya, orang ramai juga digalakkan mula memakai pelitup muka semula terutama ketika berada di tempat awam atau sesak.

“Selain itu, orang ramai digalakkan juga sentiasa mencuci tangan atau mengamalkan kembali penggunaan hand sanitizer ketika atau selepas berurusan di tempat awam.

“Kerajaan negeri sentiasa mengikuti dan memantau perkembangan terbaru berkenaan penularan wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette