Anwar Ibrahim (tengah) tetap menyantuni penduduk dalam keadaan hujan lebat pada program minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keyakinan akan menawan semula Permatang Pauh selain menjadikannya ia kubu gerakan reformasi negara.

Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, meskipun bertanding atas tiket ahli Parlimen di kawasan lain namun jasa besar yang ditonjolkan penduduk Permatang Pauh tetap tidak boleh dilupakan.

“Saya sebenarnya seronok balik ke Permatang Pauh kerana dalam banyak tempat saya pergi, bila dimakumkan berkenaan program di sini (Permatang Pauh) saya teliti balik.

“Saya tak boleh lupa Permatang Pauh kerana terlalu lama jatuh bangun di sini, jasanya besar walaupun kita faham kadang-kadang ada renggang antara orang yang dewasa dengan orang muda jadi kita kena bagi masa sikit kepada anak muda untuk ikuti perkembangan dan jangan terbawa-bawa.

“Walaupun kita diuji sekali lagi, saya masih yakin kita akan tawan semula Permatang Pauh serta ia tetap jadi kubu gerakan reformasi negara cuma kita kena sabar, tumpu kerja dan bela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan Bandar Perda di sini hari ini.

Terdahulu, cuaca hujan lebat tidak menghalang Anwar serta isterinya, Datin Seri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyantuni para penduduk yang menghadiri program tersebut.

Hadir sama, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Parlimen Permatang Pauh dimenangi calon Perikatan Nasional, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mengalahkan Nurul Izzah mewakili calon Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan, beliau tidak akan melayan sebarang kerenah membabitkan politik sebaliknya akan terus memberi fokus untuk menggalas amanah sebagai perdana menteri.

“Kita tak ambil gaji dia marah, ambil gaji dia kata tinggi sangat, ini masalah orang politik kadang-kadang dia tak ikut.

“Orang boleh cerca atau bandingkan saya tapi itu semua tidak akan diukur kerana saya nak jaga semua kaum dalam negara ini bukan kaum kerabat saya sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette