Peguambela, Gobind Singh bercakap kepada media mengenai anak guamnya yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika keluar dari mahkamah selepas membayar ikat jamin atas pertuduhan berhubung skandal terowong bawah laut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Peguam Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo akan meneliti pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya susulan ketiadaan jumlah tertentu disebutkan dalam salah laku rasuah mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ketika pertuduhan dibacakan, Gobind mempersoalkan pihak pendakwaan yang hanya menyebut suapan dalam bentuk 10 peratus dan bukannya jumlah suapan yang diterima Guan Eng seperti didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Memang satu perkara berbangkit sama ada ketinggalan pihak pendakwaan untuk menyebut jumlah di dalam pertuduhan, jumlah suapan dinyatakan sama ada itu satu perkara yang dibuang.

“Kita cukup jelas pertuduhan tidak menyatakan apa-apa jumlah, hanya setakat kononnya ada permintaan 10 peratus.

“Ini menjadi satu perkara yang akan kita perhalusi. Apa yang harus kita laksanakan ialah lihat dokumen yang akan diserahkan kepada kita oleh pihak pendakwaan,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Guan Eng mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi atas pertuduhan meminta suapan 10 peratus bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ia sebagai balasan berharga daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Gobind menafikan pertuduhan itu dan pihaknya akan melawan habis-habisan dakwaan salah laku rasuah membabitkan anak guamnya itu.

“Kita akan lawan hingga habis-habisan untuk membuktikan bahawa anak guam saya Lim Guan Eng memang tidak bersalah untuk pertuduhan yang telah dikemukakan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind dan pasukan peguamnya akan hadir di Mahkmah Sesyen Butterworth pada Isnin dan Selasa ini bagi mendengar pertuduhan ke atas Guan Eng.

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku di situ dan kita akan komen berkenaan perkara ini dengan lebih lanjut selepas itu,” katanya. – MalaysiaGazette