Poster permohonan Permit Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membuka peluang kepada peniaga memohon Permit Bazar Ramadan bagi tahun 2024 secara dalam talian bermula 15 hingga 31 Disember ini.

MBSJ berkata, peniaga yang berminat boleh melayari laman web MBSJ di www.mbsj.gov.my. untuk membuat permohonan.

Menurutnya, permohonan juga boleh dilakukan dengan mengimbas kod QR yang tertera di poster yang telah dimuatnaik melalui platform media sosial MBSJ (Facebook, Instagram dan Twitter).

“Peniaga yang berminat perlu mendaftar sebagai pengguna my@mbsj sebelum membuat permohonan permit bazar ramadan di mana semua urusan permohonan adalah dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Ia juga mengikut tiga prosedur utama iaitu mendaftar, memuat naik dokumen sokongan dan pembayaran permit.

“Untuk makluman bagi tahun 2024, sebanyak 25 lokasi Bazar Ramadan MBSJ yang akan disediakan di bawah kawasan MBSJ merangkumi jumlah keseluruhan 1,560 petak niaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, keutamaan diberikan kepada peniaga atau penduduk yang tinggal di dalam kawasan pentadbiran MBSJ.

Menurut MBSJ, pihaknya ingin mengingatkan kepada semua peniaga untuk membuat permohonan dengan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Sebarang informasi lanjut, sila layari laman web MBSJ di www.mbsj.gov.my dan platform media sosial MBSJ (Facebook, Instagram Dan Twitter) atau hubungi Jabatan Pelesenan MBSJ di talian 03 80264324. – MalaysiaGazette