Foto: FAM

DOHA – Malaysia bermula dengan langkah sumbang pada penampilan pertama di pentas Piala Asia selepas 17 tahun, apabila tumbang 0-4 kepada Jordan, dengan bekas bintang Kedah Darul Aman FC Mahmoud Almardi muncul wira The Chivalrous Ones, dalam aksi Kumpulan E di sini, malam ini (awal pagi 16 Jan waktu Malaysia).

Pada aksi sulung kedua-dua pasukan dalam kempen kali ini di Stadium Al Janoub itu, kegagalan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan, menyaksikan mereka dihukum apabila ketinggalan 0-2 hanya selepas 18 minit permainan.

Jordan kendalian Hussein Ammouta membuka tirai jaringan menerusi Almardi, yang melepaskan rembatan lencong dari sebelah kanan luar kotak penalti pada minit ke-12, sebelum pemain tengah Mousa Altamari menyempurnakan penalti enam minit kemudian.

Penalti itu diberikan pengadil Mohammed Abdulla Hassan selepas meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR) di tepi padang, susulan Yazan Alnaimat dijatuhkan Matthew Davies.

Jordan kempunan untuk melebarkan kedudukan apabila jaringan Altamari pada minit ke-25 dibatalkan VAR, namun kekecewaan itu terubat apabila Almardi yang merupakan pemain tengah kelab Al Hussein, mudah menampan bola hantaran lintang Alnaimat tatkala Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas.

Hasrat Malaysia untuk merapatkan defisit tidak kesampaian, apbila rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pemain tengah Stuart Wilkin sedikit tersasar pada masa kecederaan babak pertama, sekali gus keputusan kekal 0-3 memasuki waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Pan Gon membuat beberapa pertukaran antaranya memasukkan dua pemain naturalisasi Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh, selain Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Rashid dalam usaha mengubah permainan.

Biarpun terdapat perubahan yang menyaksikan serangan pasukan negara menjadi lebih efektif, namun tetap gagal menghasilkan gol dengan beberapa percubaan menarik berjaya diselamatkan penjaga gol Jordan Yazeed Abulaila.

Tatkala Malaysia rancak memburu gol, Jordan menambah derita anak buah Pan Gon apabila Altamari dengan mudah melepaskan rembatan bola lambung yang melepasi jangkauan Ahmad Syihan, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan di ranking dunia ke-87 itu.

Selepas ini, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain, Sabtu ini di Stadium Jassim Bin Hammad, sebelum menutup saingan kumpulan bertemu juara dua kali Korea Selatan di sini pada 25 Januari.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia di pentas Piala Asia, yang menyaksikan pasukan negara terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu masing-masing pada edisi 1976 di Iran, 1980 (Kuwait) dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Dalam pada itu, Korea Selatan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bahrain, dalam satu lagi aksi Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hammad. – Bernama