Mohamed Rizwan.

GEORGE TOWN – Kerajaan diminta memberi kelonggaran untuk perniagaan alat tulis beroperasi dalam tempoh tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dilaksanakan

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsan Wellesley, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor berkata, operasi kedai alat tulis penting dan perlu susulan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah bermula ketika ini.

Jelas Rizwan, pelajar dan ibu bapa berdepan kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan serta keperluan alat tulis untuk digunakan bagi menyiapkan tugasan masing-masing.

“Bukan sahaja pelajar, malah cikgu, pensyarah serta penuntut universiti turut berdepan situasi yang sama akibat tiada kedai alat tulis beroperasi.

“Kita mohon kerajaan pertimbangkan kelonggaran sekurang-kurang pengoperasi separuh hari atau tiga kali seminggu agar membolehkan pelajar mendapatkan keperluan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Media tempatan semalam melaporkan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan operasi kedai alat tulis kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, KPDNHEP peka dengan aduan dan rungutan daripada guru dan ibu bapa yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan serta keperluan alat tulis untuk digunakan anak-anak dalam sesi pembelajaran sepanjang PKP 3.0 ini.

“Jadi, saya melihat pembukaan seksyen alat tulis di pasar raya dan kedai alat tulis ini satu keperluan.

Saya yakin pihak MKN akan mempertimbangkan permohonan ini,” katanya. – MalaysiaGazette