Presiden Persatuan Peguam Syarie, Musa Awang (dua kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Persatuan menunjukkan kenyataan YAB Perdana Menteri pada sidang media mendesak pihak kerajaan menunaikan janji untuk menggubal Akta Profesion Guaman Syarie (APGS) dan penubuhan Majlis Peguam Syarie Malaysia (Malaysia Syariah Bar Council) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini mendesak kerajaan menunaikan janjinya enam tahun lepas untuk mewujudkan Rang Undang-Undang Akta Profesion Guaman Syarie.

Presidennya, Musa Awang berkata, sejak tahun 2011 hingga kini, pihaknya masih belum mendapat sebarang petanda akta tersebut bakal dibentangkan kerajaan ke Parlimen.

“Masih tidak pasti di mana kedudukannya, tidak diketahui ke mana hala tujunya dan masih belum menampakan ruang atau ura-ura untuk dibentangkan di Parlimen.

“Kami secara tegas memohon dan mendesak Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) serta kerajaan untuk mengotakan janji yang pernah dibuat pada pada enam tahun lepas,” katanya pada sidang media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Pada 1 Julai 2011, Perdana Menteri semasa Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Syariah Malaysia ke-13 dan Konvensyen Peguam Syarie ke-2 di Hotel Grand Season Kuala Lumpur dalam ucapannya menekankan keperluan mewujudkan akta tersebut.

Najib ketika itu memberi jaminan penggubalan Akta Guaman Syarie akan dibuat secepat mungkin dan kenyataan Perdana Menteri itu telah disiarkan di seluruh media cetak dan elektronik tempatan.

Musa juga menggesa semua kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan usul tersebut untuk membuat satu permintaan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ia bagi menggubal satu undang-undang yang seragam di seluruh Malaysia berkenaan profesion guaman syarie berdasarkan Perkara 76 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Akta Profesion Guaman Syarie ini adalah kehendak seluruh Peguam Syarie yang sedang beramal di seluruh negara, pelatih dalam kamar, pelajar-pelajar jurusan undang-undang Syariah yang sedang belajar di dalam dan di luar negara,” katanya.

Ditanya tentang keperluan akta tersebut, Musa berkata ia bagi mengatasi masalah penyelarasan dari segi penerimaan masuk sebagai pengamal undang-undang syariah di 14 negeri di Malaysia.

“Mereka terpaksa memohon kepada 14 negeri dengan kaedah berbeza, kelayakan berbeza dan cara kemasukan berbeza, tatacara berbeza dengan kadar bayaran berbeza dan temuduga berbeza.

“Akta ini penting untuk mengawal selia etika dan disiplin peguam syarie di peringkat Persekutuan. Kalau peguam syarie itu dikenakan tindakan disiplin di Selangor, peguam sama masih boleh beramal di negeri lain seperti Kedah,” jelasnya.

Katanya lagi, ia bagi mengatasi penipuan khidmat rundingan syarie oleh ulat atau ejen yang tidak mendapat tauliah sebagai peguam syarie hingga menyebabkan orang ramai kerugian beribu ringgit.

“Kita khuatir kalau dibiarkan, orang awam akan mendapat khidmat nasihat yang salah dan akan kerugian wang ringgit kerana ada ejen atau ulat-ulat ini mengambil kesempatan.

“Apabila tiada akta ini, orang ramai akan jadi mangsa penipuan dan ada kes melibatkan sehingga RM10,000,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.