Daim Zainuddin ketika bertemu dengan Li Keqiang di Beijing baru-baru ini. foto Agensi

BEIJING – Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akan disambut sebagai “kawan lama” China ketika melawat Presiden Xi Jinping bulan depan, kata  Tun Daim Zainuddin.

Kedua-dua kerajaan telah mempercepatkan persediaan untuk mesyuarat yang sangat dinanti-nantikan, menurut laporan South China Morning Post (SCMP)

Guo Yezhou, seorang pegawai kanan Parti Komunis China, bertemu Mahathir pada hari Ahad, menjelang lawatan Menteri Luar China Wang Yi pada hari Selasa.

Dr Mahathir dijadualkan melawat ibu negara China pada bulan depan, walaupun tarikh lawatannya belum dimuktamadkan.

Perbincangan peringkat tinggi antara pegawai diplomatik dari kedua-dua belah pihak telah berlangsung di Malaysia sejak Jumaat lalu, sebelum lawatan Wang yang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar di Singapura.

Kenyataan Daim itu merupakan isyarat bahawa kerajaan baharu Dr Mahathir tidak sabar-sabar untuk menafikan persepsi keputusannya menangguhkan beberapa projek infrastruktur bernilai AS$23 bilion mencerminkan dasar permusuhan terhadap China.

Daim, ketua Majlis Penasihat Kerajaan dihantar ke Beijing awal bulan ini untuk membuat rundingan semula berhubung perjanjian projek-projek infrastruktur yang didakwa terlalu mahal.

“Saya telah dihantar oleh Perdana Menteri saya dan saya melaporkan kepadanya.
Saya hanya boleh mengatakan bahawa kami mempunyai perbincangan yang sangat baik dan akan terus meningkatkan hubungan ini demi kepentingan bersama,” kata Daim.

Daim berkata demikian dalam jawapan yang diemelkan berhubung lawatannya ke Beijing baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Daim telah menemui Wang dan Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Daim, 80, berkhidmat sebagai Menteri Kewangan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003.

Daim berkata, China telah membincangkan butiran tentang apa yang mahu dicapai semasa lawatan Dr Mahathir dan perkara itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri.

“Mereka menantikan lawatan Perdana Menteri saya yang mereka gambarkan sebagai pertemuan kawan-kawan lama,” kata Daim.

Mahathir telah menekankan keputusannya untuk menggantung tawaran infrastruktur yang melibatkan syarikat-syarikat China atas faktor-faktor ekonomi.

Tetapi beberapa pemerhati membuat spekulasi bahawa mungkin terdapat strategi yang lebih luas untuk mengekalkan hubungan diplomatik dengan Beijing.

Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei telah memperkuat hubungan dengan China semasa berada dalam kerajaan.

Bagaimanapun, parti gabungan yang dipimpin oleh Dr Mahathir telah menuduh Najib berkompromi dengan kedaulatan negara melalui hubungannya dengan Beijing.

Daim berkata, persepsi bahawa Beijing bimbang dengan kerajaan baru adalah salah faham.

“Para pemerhati telah membaca situasi dengan salah. Saling menghormati sangat penting. Kami menghargai persahabatan antara satu sama lain dan sebagai orang Asia, kami menghargai perbezaan budaya dan memahami sensitiviti kami.

“Kadang-kadang kita bersetuju untuk tidak bersetuju tanpa merosakkan hubungan kita yang lama.

“China, seperti kebanyakan negara yang pernah dijajah di bawah perjanjian yang tidak adil dan palsu, tahu apa maksudnya kepada bangsa dan rakyatnya. Kepada kami dan China, keadilan adalah penting. Kami berkongsi nilai bersama,” kata Daim. – MalaysiaGazette