Petugas SPR melakukan kerja-kerja persiapan menjelang hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2022.

BERA – Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah menyiapkan peralatan bekaitan pengundian termasuk di Bera.

Ia termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif berkata, proses yang dilakukan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini bermula pukul 8.30 pagi tadi melibatkan 264 peti undi di 132 saluran mengundi.

Pegawai Pengurus SPR Bera, Datuk Zaman Azam (dua kanan) meninjau petugas SPR melakukan kerja-kerja persiapan menjelang hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2022.

“Persediaan menjelang hari mengundi esok adalah pada tahap 100 peratus. Peti-peti undi ini akan mula dibawa ke tempat mengundi esok, paling awal bermula ke Kampung Pasal pada pukul 3 pagi,”katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Zaman Azam juga puas hati kerana semua keperluan untuk proses pengundian seperti peti undi dan lain-lain peralatan sudah pun selesai disemak oleh Timbalan-Timbalan Pegawai Pengurus (RO).

Petugas SPR melakukan kerja-kerja persiapan menjelang hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2022.

Beliau turut memaklumkan seramai 1,246 orang kakitangan SPR telah ditugaskan di 36 Pusat Mengundi di Bera esok untuk memastikan kelancaran proses pengundian.

“Pengundi paling ramai esok adalah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Triang 2 iaitu seramai 7,023, manakala Pusat Mengundi SJKC Kemayan akan menerima pengundi paling sedikit iaitu hanya 174 orang sahaja,” tambahnya lagi.

Menurut daftar pemilih SPR, terdapat seramai 77,669 pengundi di Bera meliputi kira-kira 18,000 pengundi baharu, 3,800 pengundi awal dan 3,004 pengundi pos.

Difahamkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengundi di saluran 2, di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kerayong pukul 9 pagi esok.

Bagi keseluruhan Pahang, seramai 1,115,670 pengundi biasa daripada 1,136,944 akan mengundi pada hari esok bagi menentukan gabungan parti politik mana yang bakal memerintan negeri ini. – MalaysiaGazette