Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan dasar pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kata-kata semangat dan berfakta semasa ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak nyata menyuntik semangat perwakilan dan ahli-ahli yang hadir untuk menghadapi PRU-14.

Perhimpunan agung kali ini merupakan yang terpenting sebelum ahli-ahli parti turun menghadapi pilihan raya tahun depan malah Najib semasa ucapannya mengatakan ini adalah ‘bapa’ kepada segala pilihan raya.

Temubual bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Aziz Kaprawi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017.

Ahli Majlis tertinggi UMNO, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, penjelasan Najib berhubung situasi sebenar negara berjaya menangkis segala pembohongan dilakukan oleh pembangkang sebelum ini terhadap kerajaan.

“Hari ini Perdana Menteri buka tembelang pembohongan pembangkang dan kita minta rakyat dapat menilai apa yang Presiden nyatakan bahawa pembohongan ini hanya lah merupakan satu penipuan yang menipu rakyat.

“Terbukti Datuk Seri Najib mengurus ekonomi dan negara dengan begitu baik serta menjelaskan tentang rizab negara yang lebih 400 bilion sekaligus menafikan dakwaan pembangkang yang negara kita berhutang, negara kita nak bankrap, ini semua sudah dijelaskan,” kata beliau semasa ditemui wartawan di PWTC hari ini.

Aziz berkata dengan penjelasan tersebut juga, akar umbi berada dalam mood gembira dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan diumumkan pada bila-bila sahaja.

“Mood hadapi PRU oleh ahli-ahli UMNO begitu gembira, mood yakin kerana UMNO dan Barisan Nasional telah menunaikan janji-janji kepada rakyat dan hari ini janji itu dapat dirasai akar umbi sekaligus menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak deliver,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ditemui selepas ucapan dasar juga menyifatkan ucapan Najib memberi semangat kepada ahli parti untuk turun memberi penjelasan kepada rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2017.

“Ia beri semangat kepada kita semua tentang apa kita akan hadapi dalam pilihan raya nanti, sebab itu bila Presiden letak cabaran kepada kita, beliau sudah menggariskan segala apa yang telah kita lakukan bersama.

“Ini bukan sahaja memberi semangat kepada kita tapi juga keyakinan bukan hanya ahli UMNO tapi juga rakyat dalam negara kita kerana UMNO dilihat satu-satunya parti yang boleh menguruskan dari segi transformasi, sosio, politik tapi juga mengurus ekonomi dalam negara kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata terbukti UMNO merupakan sebuah parti yang unggul dan kejayaan demi kejayaan dicapai membuktikan pimpinan Najib dihormati di semua peringkat.

Kita adalah sebuah parti yang mampu untuk terus memimpin negara kerana kejayaan dibuat oleh UMNO sebagaimana disebut oleh Presiden tadi memang terbukti, bukan sahaja diiktiraf dalam negara tapi juga antarabangsa

“Dalam soal ekonomi, diiktiraf oleh Bank Dunia, ini bukti termasuk apa yang boleh diukur rakyat,” kata Shamsul yang juga Ahli Majlis Tertinggi. – MalaysiaGazette