Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika menyasikan petukaran memorandum persefahaman antara Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean Francois Naa (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan IHH Healthcare di Hospital Pantai, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 500 pesakit kanser dari hospital kerajaan akan mendapat rawatan percuma di hospital swasta seliaan IHH Healthcare.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia selaras dengan kerjasama berskala besar terjalin di antara kementeriannya dengan IHH Healthcare.

Jelas beliau, doktor pakar daripada hospital kerajaan akan memilih pesakit kanser yang sesuai untuk menerima rawatan di hospital swasta terpilih.

“Pilihan itu dibuat oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan) oleh pihak hospital dan pakar onkologi dan mereka akan dirujuk, tengok pada kesesuaian sama ada kanser mereka sesuai untuk dirawat melalui pisau gamma dan juga linear accelerator bagi radioterapi.

“Kalau onkologi mendapati mereka sesuai untuk menjalani rawatan yang disediakan di hospital IHH maka mereka akan dipilih dan dirujuk ke sini dan prosedur itu juga akan melibatkan onkologi daripada KKM,” katanya.

Terdahulu, Khairy menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KKM dengan IHH Healthcare di Hospital Pantai di sini hari ini.

Menurut Khairy, proses rawatan pesakit kanser di hospital swasta terpilih kelak akan dipantau oleh doktor pakar daripada hospital kerajaan.

“Sebab itu ia mengambil sedikit masa sebab bila nak mengamalkan perkhidmatan perubatan di fasiliti swasta, mesti mendapat kelulusan daripada fasiliti tersebut. Jadi setelah proses itu dapat dilaksanakan, barulah pakar daripada hospital awam boleh memberi rawatan di hospital swasta,” tambahnya.

Khairy menjangka proses rawatan pesakit kanser di hospital-hospital swasta seliaan IHH Healthcare akan bermula November depan.-MalaysiaGazette