Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian tertinggi sebanyak 507,050 dos setakat semalam, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.- Gambar hiasan.

KANGAR – Golongan berisiko tinggi terutama pesakit kronik yang bakal menerima vaksin dinasihatkan melakukan beberapa persediaan seperti memastikan mereka dalam keadaan sihat selain perlu tahu nama ubat yang diambil atau membawa ubat tersebut ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk ditunjukkan kepada petugas.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis Dr Nurazam Omar berkata, mereka juga perlu segera memaklumkan kepada petugas sekiranya mengalami sebarang gejala dijangkiti wabak COVID-19 dan turut dinasihatkan untuk membawa pen sendiri bagi mengelak risiko dijangkiti.

Justeru, katanya, pesakit kronik tidak perlu takut atau risau untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana ia perlu bagi melindungi mereka daripada mendapat kesan yang teruk jika dijangkiti virus itu.

Dr Nurazam berkata, vaksin boleh diibaratkan sebagai ‘perisai’ kerana ia dapat mengurangkan risiko jangkitan bagi pesakit kronik yang merupakan antara golongan tertinggi yang mendapat jangkitan wabak berkenaan.

“Mereka yang mengambil ubat atau dalam tempoh rawatan juga tidak perlu bimbang untuk mengambil vaksin COVID-19 kerana ia selamat.

“Nisbah kadar kemungkinan mendapat kesan sampingan daripada suntikan vaksin COVID-19 antara individu sihat dan mereka yang mempunyai penyakit adalah sama, jadi pesakit kronik tidak perlu risau akan perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Dr Nurazam berkata, antara kelebihan vaksin kepada pesakit kronik yang dijangkiti COVID-19 ialah mereka dapat mengurangkan risiko kebolehjangkitan virus tersebut kepada ahli keluarga terdekat lain terutama yang berumur 18 tahun ke bawah. – MalaysiaGazette