Azam Baki semasa menyampaikan ucaptama pembukaan Persidangan Antarabangsa ke-12 Krimimologi Kewangan di Universiti Cambridge, United Kingdom, baru-baru ini. Foto SPRM

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki mengakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan pesalah-pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Walau bagaimanapun, gabungan perisikan secara berkesan adalah kunci kepada penyiasatan yang berjaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, contohnya beberapa kes profil tinggi yang masih dibicarakan di mahkamah serta kes yang baharu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

“Ini berlaku selepas perjuangan yang panjang untuk SPRM, kerja keras kami untuk menyiasat kes-kes yang rumit, mendapatkan semula aset negara serta untuk membantu dalam pendakwaan telah membuahkan hasil, malah kerja masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Persidangan Antarabangsa ke-12 Krimimologi Kewangan di Universiti Cambridge, United Kingdom, baru-baru ini.

Persidangan itu dianjurkan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), United International University, TELKOM University dan Universiti Cambridge bertindak sebagai tuan rumah.

Menyedari bahawa kejayaan itu datang dengan pengorbanan, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai-pegawainya atas integriti dan ketabahan mereka menghadapi tekanan yang luar biasa bersama.

“Sebagai orang yang menjaga integriti, tadbir urus yang baik dan antirasuah, kita perlu berdiri teguh di samping keazaman yang sempurna dan ketabahan dalam menegakkan amanah dan tanggungjawab, tidak kira apa pun cabaran yang kita hadapi, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Azam menambah, jenayah kewangan masih berleluasa dan menyumbang kepada aktiviti haram yang berterusan seperti isu alam sekitar serta ketirisan dalam perolehan kerajaan untuk pembangunan negara.

Tegasnya, jenayah kewangan dan rasuah boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, pembangunan ekonomi yang stabil, kelestarian alam sekitar, promosi tenaga boleh diperbaharui, usaha mencegah perubahan iklim dan matlamat mampan untuk menamatkan kebuluran dan kemiskinan.

Oleh itu, ketelusan perlu diterapkan dalam kitaran perolehan yang melibatkan proses penilaian bekalan, peruntukan belanjawan, tawaran dan tender terbuka, pelaksanaan kontrak serta pengauditan dalam usaha untuk mencegah rasuah.

Ini kerana, ujarnya, aktiviti gelap antara sektor swasta dan pegawai awam yang korup mampu berkembang dalam keadaan birokrasi yang melampau dan ketiadaan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan. – MalaysiaGazette