KUALA – Bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Peter Chong yang dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu telah selamat kembali ke tanahair selepas ‘mengunjungi’ Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di dalam twitternya menyiarkan dua keping gambar Peter yang berbaju biru dan berseluar pendek telah tiba di sebuah lapangan terbang yang dipercayai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Syabas @PDRMsia Kuala Lumpur. Peter Chong sudah kembali dari Pattaya tengahari tadi,” katanya.

Minggu lalu, Khalid berkata, polis mempunyai bukti Peter telah menyeberangi sempadan di checkpoint imigresen Bukit Kayu Hitam untuk memasuki Thailand sekitar 6.30 pagi pada 7 April.

Namun masih tiada rekod mengenai kepulagannya ke negara ini.

Kehilangan Peter menjadi hangat apabila beliau tiba-tiba hilang tidak lama selepas mengemaskini status Facebooknya mengenai pertemuan aneh dengan seorang lelaki yang tidak bernama pada 31 Mac lalu.

Beliau yang merupakan bekas pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berkata, beliau telah diberi amaran oleh seorang lelaki bermotosikal yang memintanya berhati-hati kerana sudah banyak kes orang hilang berlaku.-MalaysiaGazette